Thursday 28 July 2011

HKL TERBAKAR


Seorang lelaki warga Indonesia yang mendapat taraf penduduk tetap (PR) rentung dalam kebakaran di unit kecemasan Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini, awal pagi tadi.

CEMAS...kelihatan orang awam menunggu di luar bangunan Hospital Besar Kuala Lumpur manakala jentera Bomba dan Penyelamat menghampiri pintu masuk bahagian kecemasan zon kuning berikutan kebakaran sebuah bilik yang menempatkan pesakit di ICU. Foto: Mohd Yusni Ariffin

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 pagi, mangsa, Dedy Mulia Abdul Ghani, 33 yang dipercayai menghidap sakit mental sedang dirawat di hopsital berkenaan gagal diselamatkan selepas terperangkap di dalam bilik di wad terbabit.

Pengarah Penguat Kuasa Bomba Kuala Lumpur, Azizan Ismail, berkata, anggota bomba menerima panggilan pada jam 12.34 pagi dan sampai ke tempat kejadian tujuh minit selepas itu.

Menurutnya, dua jentera bomba dari Balai Bomba Chow Kit dan Sentul dikerahkan ke tempat kejadian untuk memadamkan kebakaran.

“Ketika sampai di HKL, kita dapati kakitangan hospital sedang berusaha memadam kebakaran itu menggunakan alat pemadam api.

“Kami mengambil alih memadamkan kebakaran di wad terbabit yang diselubungi asap tebal,” katanya ketika dihubungi awal pagi tadi.

Menurut Azizan, bomba berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke tempat lain dan api dapat dipadam sepenuhnya dalam tempoh setengah jam.

“Kakitangan hospital juga berjaya memindahkan seramai 15 pesakit ke wad lain. Bagaimanapun, Dedy yang terperangkap di dalam bilik terbabit gagal diselamatkan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut kejadian terbabit bagi mencari punca kebakaran dan bagaimana mangsa terperangkap di dalam bilik itu. -hm

Pahlawan Johor: Si Bongkok Tanjung Puteri Dilabelkan Lanun Dan Pengkhianat Oleh Penjajah

ADA beberapa tokoh misteri yang nama mereka ‘hilang’ dalam lembaran sejarah perjuangan menentang penjajah di tanah air, ratusan tahun lalu. Walaupun kewujudan mereka suatu ketika dulu memberi sumbangan besar dan mencetuskan kegerunan di jiwa penjajah, kebanyakan tokoh ini tidak disebut dalam mana-mana dokumen sejarah.

“Antara tokoh terbabit adalah Si Bongkok Tanjung Puteri yang sehingga kini, sejarah perjuangannya masih tidak diketahui ramai pihak,” katanya yang menulis novel sejarah berkenaan pahlawan itu, tahun lalu.

Beliau berkata, tidak seperti tokoh pejuang lain seperti Datuk Bahaman di Pahang atau Rentap di Sarawak, sejarah negara ini tidak pernah mengenali siapa Si Bongkok yang berjuang menentang British dan sekutunya di Johor.

“Ceritanya bermula apabila British mula menjajah Singapura seterusnya cuba melebarkan pengaruh mereka ke Johor,” kata Abdul Latip seterusnya memulakan kisah perjuangan Si Bongkok Tanjung Puteri yang kini semakin hilang dalam lipatan sejarah negara.

Pernah suatu ketika sekitar abad ke-19, Kerajaan Johor tidak diperintah oleh Sultannya tetapi pentadbiran dan segala urusan negeri diuruskan Temenggung Abdul Rahman atas sokongan British.

Polemik itu berlaku apabila Sultan Hussein mangkat pada 1835; putera baginda iaitu Tengku Ali cuba mendapatkan haknya sebagai Sultan Johor tetapi dihalang Temenggung Abdul Rahman.

Akibat daripada perebutan kuasa itu, muncul kisah perjuangan Si Bongkok di Tanjung Puteri (kini Johor Bahru). Beliau berhasrat mengusir pengaruh penjajah dari bumi Johor dan tidak bersetuju dengan hasrat pemerintah negeri yang berbaik-baik dengan British.

Si Bongkok juga inginkan takhta kesultanan Johor yang ketika itu dikuasai Temenggung Abdul Rahman, dikembalikan kepada pewaris asal iaitu Tengku Ali.

Si Bongkok memang nama asalnya manakala nama bapanya adalah Damak. Dinamakan dirinya sebagai ‘Si Bongkok’ berikutan keadaan tubuh badannya yang cacat iaitu bongkok ke kanan manakala tangan kirinya pula cengkung. Mukanya pula herot dan bengkak ke kanan.

Walaupun dilahirkan sebagai insan yang cacat, Si Bongkok membesar sebagai seorang pemuda yang gagah dan berani. Beliau cekap bermain senjata dan mahir dalam ilmu lautan. Si Bongkok juga dikatakan memiliki ilmu kebal yang menyebabkan jasadnya tidak akan luka sama ada ditembak atau ditikam senjata tajam.

Kewibawaan beliau dikagumi ramai pihak sehingga Si Bongkok diangkat menjadi pemimpin oleh pengikutnya yang ramai. Di kalangan musuhnya sendiri beliau digelar Panglima Si Bongkok.

Si Bongkok hidup di atas kapal layar di tengah laut. Dia mempunyai pengikut yang ramai dan masing-masing memang cekap bermain senjata serta mengendalikan kapal di laut.

Kebenciannya terhadap penjajah dan pemimpin tempatan yang mengadakan hubungan dengan bangsa asing itu menyebabkan Si Bongkok bersama pengikutnya bangkit menentang.

Mereka akan menyerang kapal bangsa asing yang melalui perairan Johor untuk berdagang di pelabuhan Tanjung Puteri atau Singapura. Tindakan itu menyebabkan British melabelkan mereka sebagai lanun.

Disebabkan serangan Si Bongkok dan pengikutnya, aktiviti perdagangan dan ekonomi di Tanjung Puteri dan Singapura semakin merosot kerana kebanyakan pedagang asing tidak lagi berani memasuki wilayah itu.

Keadaan itu menimbulkan kebimbangan kepada British menyebabkan bangsa asing itu mengarahkan Temenggung Abdul Rahman supaya menghapuskan kumpulan Si Bongkok.

Bagaimanapun, walau pelbagai cara digunakan untuk membunuh Si Bongkok, usaha itu tidak pernah berhasil kerana dipercayai tiada siapa yang mengetahui cara untuk mengatasi ilmu kebal yang dikuasai pahlawan itu.

Usaha mengekang serangan Si Bongkok terus diperketat dengan rondaan berterusan diadakan di perairan Selat Tebrau. Kerajaan Johor dan British juga semakin khuatir kerana angkatan laut Si Bongkok memiliki ubat bedil dan senjata api hasil rampasan kapal dagang Barat yang diserang mereka.

Pada suatu hari, satu angkatan laut Johor diketuai Panglima Johor, Laksamana Daeng Alek meronda di Selat Tebrau mencari Si Bongkok. Kehadiran tentera diraja itu untuk menangkapnya sudah diketahui Si Bongkok melalui perisiknya di istana. Si Bongkok pun bersedia menghadapi tentangan angkatan Panglima Johor.

Rondaan kapal perang Panglima Johor akhirnya berjaya mengesan kedudukan kapal Si Bongkok. Mereka segera merapati kapal itu untuk menyerangnya.

Si Bongkok mengarahkan pengikutnya seramai lima puluh orang menyerang belas askar diraja itu. Pertempuran hebat berlaku di atas kapal, di tengah lautan.

Selepas lama bertempur, akhirnya angkatan Panglima Johor tewas. Mereka terpaksa berundur kembali ke pangkalan di Tanjung Puteri selepas ramai askar diraja yang terkorban dan lima kapal perangnya, karam.

Kekalahan itu tidak memutuskan semangat Panglima Johor untuk terus menyerang Si Bongkok. Pada hari yang lain, mereka menyerang lagi dengan lebih ramai askar. Angkatan perang Panglima Johor berjaya mengepung beberapa kapal Si Bongkok tetapi dengan kebijaksanaannya, Si Bongkok berjaya melarikan diri ke tempat persembunyiannya sekitar Tanjung Belungkur.

Kegagalan itu menyebabkan Laksamana Daeng Alek, Kerajaan Johor serta British semakin marah dan tertekan.

Selain Panglima Johor, turut menentang Si Bongkok adalah adiknya sendiri iaitu Panglima Putih. Berbeza dengan Si Bongkok yang menyokong Tengku Ali, Panglima Putih menyokong Temenggung Abdul Rahman menyebabkan mereka bermusuhan.

Mereka berdua juga dikatakan mencintai gadis yang sama iaitu Si Tanjung. Bersama Laksamana Daeng Alek, Panglima Putih beberapa kali menyerang abangnya tetapi tetap gagal menghapuskan Si Bongkok. Si Bongkok pula terus menyerang kapal dagang yang ingin berlabuh di Tanjung Puteri dan Singapura.

Episod akhir perjuangan Si Bongkok berlaku apabila sekali lagi kapalnya diserang. Akan tetapi, serangan pada kali itu lebih dahsyat kerana setiap penjuru perairan Selat Tebrau sudah dikepung angkatan laut Johor.

Si Bongkok dapat melepaskan diri ke Tanjung Belungkur, tempat persembunyiannya tetapi kapal Panglima Putih terus mengejar.

Akhirnya, di tepi pantai Tanjung Belungkur, dua beradik itu bersemuka buat kali terakhir. Pertelingkahan terus tercetus dengan masing-masing menegakkan prinsip yang tersemat di hati.

Panglima Putih terus membela Temenggung Abdul Rahman dan Si Bongkok terus mempertahankan hak kedaulatan Tengku Ali dan maruah tanah air daripada campur tangan British.

Pertengkaran hebat itu akhirnya berlarutan kepada pergaduhan. Kedua-dua pahlawan gagah perkasa itu bertempur hebat dan tangkas tetapi Panglima Putih tetap gagal membolosi keris ke jasad Si Bongkok lantaran kekebalan pahlawan itu.

Selepas melihat adiknya beriya-iya mahu membunuhnya walaupun beliau adalah abang kandung panglima diraja itu, Si Bongkok akhirnya pasrah. Beliau tidak sanggup membunuh adiknya sendiri atau melihat adiknya yang sudah dipengaruhi British, membunuhnya dirinya.

Ketika itulah, Si Bongkok membongkar rahsia kelemahan ilmu kebalnya. Beliau menikam dirinya sendiri dan di tepi pantai Tanjung Belungkur, berakhirlah riwayat dan perjuangan Si Bongkok demi membela tanah airnya yang tercinta. Pahlawan itu mati di atas pangkuan adiknya.

Catatan Penyelidikan Oleh: 
Ahli Persatuan Sejarah Malaysia cawangan Jelebu, Negeri Sembilan; Abdul Latip Talib.